Wednesday 24 August 2011

2. Diserang appendiks yang akut

Setelah tinggal selama lebih kurang setahun di rumah Pak Drh Hasnil, tepatnya pada bulan Jun 1971, kami berpakat untuk menyewa rumah di Jalan Jalak, di sebelah utara sedikit dari Gedung Sate. Tinggal bersama saya pada ketika itu ialah Ismail Mohd, Abdul Manan Jais, dan Mohd Nordin Garif

Kami ingin hidup berdikari, itu motif utama kami mengambil keputusan untuk menyewa rumah dan tidak lagi tinggal bersama keluarga angkat. Di sini disebut “kontrakan” sebagai istilah kita menyewa rumah untuk tinggal. Sewa kena bayar diawal tahun bagi kontrakan setahun. Jadi tiap bulan kami wajib buat simpanan untuk membayar sewa tahun berikutnya.

Ketika itu tukaran satu ringgit Malaysia (RM) ialah 125 rupiah wang Indonesia. Sebulan biasiswa dua ratus tiga puluh ringgit Malaysia (RM230) akan menjadi dua puluh lapan ribu tujuh ratus lima puluh rupiah (RP28,750.00). Lumayan untuk hidup satu bulan di Bandung. Pada mulanya, kami sering pergi ke alun-alun di tengah Kota Bandung untuk makan nasi padang yang sesuai dengan lidah Melayu, namun lama kelamaan terasa mahal pula. Kami mula bertukar kepada makanan Sunda yang banyak sayur-sayuran, saya sangat suka tahu dan tempe yang banyak gizinya.

Kenderaan utama untuk ke mana-mana di Bandung ketika ini ialah beca dan angkot, singkatan untuk angkutan kota. Kalau ingin ke destinasi yang agak jauh kami terpaksa mengambil beberapa angkot bergantian. Kalau dekat, cukup dengan menggunakan beca saja. Mudah sangat mendapatkan beca atau angkot, sebab di mana-mana simpang jalan pun ada abang atau mang beca menunggu.

Solat suboh berjamaah selalu saya lakukan di Mesjid Titiran, sebuah mesjid yang berada di hujung Jalan Jalak. Biasanya solat Zuhor dan Asar, kami lakukan di Mesjid Salman, ITB. Di Mesjid Titiran saya bertemu dengan Kang Soemarna, istilah Kang ialah abang dalam bahasa Sunda, iaitu bahasa utama propinsi Jawa Barat. Saya bersahabat baik dengan beliau, mungkin kami serasi. Pernah sekali Kang Marna membawa saya pulang ke kampongnya di Tasik Malaya dan meminta saya memperdengarkan bacaan Al-Quraan di khalayak ramai. Mungkin dia pernah mendengar saya membaca Al-Quraan di Mesjid Istiqomah dalam acara kuliah subuh hari minggu atau dalam acara-acara lain di Mesjid Istiqomah. Gementar juga saya seketika, namun berkali-kali dia meminta saya membaca Al-Quraan, akhirnya tiada daya saya menolak permohonan ikhlas beliau.

Ketika ini saya mewakili ITB dalam permainan hoki bersama Zhari Ismail, Jamaluddin Basharuddin, Nasaruddin Zainal Abidin, Jamil Basha Adlan dan lain-lain. Ada sekitar tujuh orang mahasiswa Malaysia yang bermain untuk team ITB. Selaku penyerang tengah saya selalu menjaringkan gol untuk team ITB, dan yang saya masih ingat hingga sekarang ialah ketika pertandingan ITB melawan Universiti Indonesia di Jakarta, saya berjaya menjaringkan gol.

Dua peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika berada di rumah kontrakan Jalan Jalak, pertama ketika kaki saya terperosok ke mangkok jamban, mungkin keadaan bilik air licin pada masa itu dan akibatnya urat keting kaki kiri saya luka besar, parutnya masih ada hingga sekarang.

Kedua, ialah ketika saya dimasukkan ke rumah Sakit Borromeus, Bandung yang terletak di Jalan Dago kerana sakit apendik. Sebelum doctor mengesan adanya apendik, saya sering deman dan semboh berulang kali dan juga apabila doctor menekan perut saya di sebelah kiri saya terasa amat sakit. Pembedahan membuang apendik terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa saya, parutnya juga masih ada hingga sekarang.

Juga ketika ini saya diperkenalkan dengan seorang gadis Sunda oleh Kang Marna bernama Yanti yang cukup cantik namun secara sopan dia menolak kerana sudah bertunang dengan pemuda pilihan ibunya di kampong. Sempat juga saya belajar beberapa istilah bahasa Sunda dengan Kang Marna dan membeli beberapa buku bahasa Sunda untuk membiasakan dengan bahasa yang lembut itu.

Kemudian, pada tahun 1972, kami mengontrak sebuah rumah di Jalan Bagusrangin, dekat dengan Universitas Panjajaran dan ITB. Pak Koeswara menyewakan kami rumah beliau di Jalan Bagusrangin itu dengan harga yang berpatutan dan kami berenam segera menempati rumah Pak Koeswara iaitu Zakaria Bahari, Ishak Yahya, Azizan Saad, Nordin Garif, Abdullah Mohammad dan saya.

Di rumah yang kami kontrak itu, kami menggaji tiga orang pembantu rumah, seorang cuma dibayar RM10 sahaja wang Malaysia, jadi kami membayar secara berkongsi sebanyak RM30 untuk tiga orang pembantu rumah. Saya sebagai ketua rumah mengatur kerja-kerja pembantu. Seorang memasak, seorang lagi mengemas rumah dan seorang lagi membasuh pakaian. Mereka semua balik hari dan bekerja sampai jam 3.00 petang saja, mereka boleh balik selepas menyiapkan makan malam untuk kami berenam.

Zakaria, Nordin, Azizan dan Ishak mengambil Jurusan Kimia dalam fakulti yang sama dengan saya. Abdullah pula mengambil jurusan Elektro di fakulti yang lain. Saya sendiri saja yang mengambil Matematik dari kumpulan enam orang ini. Jurusan Elektro di tempat lain mungkin disebut sebagai “Department of Electrical Engineering”.

Tuesday 16 August 2011

1. Bandung memanggilku buat pertama kali

Setelah tinggal beberapa hari di sebuah asrama di Rawamangun, Jakarta pada tahun 1970, kami menaiki bas untuk ke Bandung. Di Kota Kembang, Bandung ini saya mendapat keluarga angkat, Dr Hasnil Basri dan ibu yang tinggal di Jalan Flores No. 4, jalan utama di sekitar itu ialah Jalan Aceh. Anak Bongsu Pak Hasnil bernama Ayi yang selalu kami usik dengan bertanya macam-macam perkara.

Ahmad Sobri Hashim, Jamil Basha Adlan dan saya ditempatkan dalam sebuah bilik di rumah Dr Hasnil Basri dan kami berulang alik ke Institut Teknologi Bandung (ITB) menghadiri kuliah dan kegiatan di sana yang jaraknya sekitar 5 kilometer (KM).

Pada peringkat awal, saya berjalan kaki ke ITB tetapi kemudian, pada tahun 1971 dengan duit biasiswa yang ditabung, saya berhasil membeli sebuah motorsikal Honda Z70 berwarna merah. Nampaknya motorsikal Honda Z70 sudah tidak dikeluarkan lagi, tangki motorsikal itu berada di hadapan pemandu. Pada masa itu harga motorsikal berwarna merah lebih mahal daripada motorsikal berwarna biru atau lain-lain warna. Perbezaan harga berdasarkan permintaan pengguna.

Sejak mendapat motorsikal, kaki kami mulai panjang sikit. Maknanya kami boleh pergi ke mana-mana sekitar Bandung dengan cepat dan perjalanannya boleh pergi jauh. Ada ketika, biasanya hari minggu kami ke Maribaya, sebuah tempat peranginan sejuk di Bandung. Waktu malam ada yang ke “Bandung Tea House”, sebuah tempat yang agak tinggi di utara Kota Bandung yang membolehkan kita melihat Kota Bandung pada waktu malam dengan kegemerlapan cahaya lampu yang indah.

Ada juga teman-teman yang sudah mula dapat “cewek” (girl friend) orang Bandung yang rata-rata cantik. Ada juga yang jatuh cinta dengan anak tuan rumah indekos. Istilah indekos digunakan bagi menyatakan seseorang menyewa bilik di sebuah rumah kepunyaan seseorang yang disebut sebagai tuan rumah (landlord). Kadang-kadang diringkas menjadi kos saja dalam percakapan harian.

Saya mengambil jurusan Matematik yang berada di bawah Fakulti Matematik dan Pengetahuan Alam (MIPA), ITB. Kami dikirim belajar ke Indonesia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menambah guru-guru dalam Bahasa Melayu untuk mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan teknologi. Kemudian, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas dan lain-lain juga menghantar pelajar-pelajar mereka ke Indonesia.

Bandung ketika tahun 70an sangat sejuk. Kalau kita bermotorsikal pada malam hari, dada kita kena lapiskan dengan surat khabar atau kertas tebal untuk menghindari udara malam yang dingin. Jaket sudah menjadi satu kemestian bila keluar malam dengan motorsikal. Kalau tidak lama kelamaan, kita akan mendapat penyakit paru-paru basah, istilah paru-paru berair bagi orang Bandung.

Saya sendiri jarang-jarang keluar malam. Saya sering diajak Pak Hasnil ke Mesjid Istiqomah Cihapit untuk solat Suboh kerana dekat dengan Jalan Flores. Ketika itu Mesjid Istiqomah Cihapit sangat dhoif dan Dewan Kesejahteraan Mesjid (DKM), sebuah jawatankuasa bagi mengendalikan mesjid, selalu berbincang macam mana mencari sebuah tempat lain yang lebih selesa untuk jamaah beribadah. Akhirnya Mesjid Istiqomah Cihapit berpindah ke Taman Citarum dan tetap dinamakan Mesjid Istiqomah tetapi lokasinya di Taman Citarum berdekatan dengan Gedung Sate, kantor Gubenor Jawa Barat. Ketika itu saya bertemu dengan Ir Bambang Pranggono dan ayahnda beliau Pak Sunarman aktivis mesjid Istiqomah. Pada tahun 1975, setelah Pak Sunarman kembali ke rahmatullah saya bertemu jodoh dengan anak saudara beliau bernama Umi Purwati Sunoto yang hidup dan mewarisi persekitaran agama Islam yang kuat.

Ir Bambang Pranggono terlibat langsung sebagai arsitek dalam membangun Mesjid Istiqomah Taman Citarum dari sebuah bulatan besar yang kosong, dipenuhi dengan lalang dan pokok-pokok kecil sehingga menjadi sebuah mesjid yang terkenal di seluruh Indonesia. Beliau, ketika tahun 1970an ialah mahasiswa ITB dalam bidang Arsitektur dan Senirupa. Sangat gigih dalam berdakwah dan berbakat besar dalam pidato keagamaan. Sekarang, beliau ialah dosen (pensyarah) di Fakulti Teknik, Universiti Islam Bandung (UNISBA).

Sejak bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh saya suka bergiat dalam persatuan sehingga ketika di STAR saya terlibat dalam 23 aktiviti persatuan, ko-kurikulum, sukan dan sebagainya. Ketika di Bandung, saya tidak boleh lari dari minat ini sehingga dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada awal penglibatan sehinggalah menjadi Yang Dipertua (YDP), PKPMI Pusat pada tahun-tahun kemudiannya.

Kami pernah mengadakan lawatan ke Jogjakarta pada tahun 1973 dan ke Medan pada tahun 1974, dengan mengadakan pertandingan persahabatan dalam bermacam-macam jenis sukan dengan PKPMI Cabang Jogjakarta dan Medan pada tahun-tahun berkenaan.

Perjalanan ke Medan kami tempoh dengan menaiki feri Tampomas yang mengambil masa selama 3 hari 2 malam berlepas dari Tanjung Periok hingga ke Medan dengan berhenti di Pulau Bangka dan lain-lain sebelum sampai ke Medan. Pulangnya kami mengambil kapal terbang dari Medan ke Jakarta dan menaiki “travel” dari Jakarta ke Bandung. Ini dilakukan kerana tidak tahan dengan lamanya masa perjalanan laut dari Tanjung Periok ke Medan. Mengikut yang empunya cerita, Feri Tamposmas sudah dipencenkan beberapa tahun selepas itu.

Saya masih teringat hingga kini kerana bercampur risau ketika Prof Zhari Ismail (USM) dan saya membawa wang rupiah dalam jumlah berjuta-juta dalam beg menggunakan kereta api dari Jakarta ke Bandung. Pada masa itu biasiswa lambat dan pelajar-pelajar sudah resah kerana tidak menerima biasiswa beberapa bulan dan mereka terpaksa membayar sewa rumah, makan dan lain-lain. Sambil memeluk erat beg yang berisi wang ratusan juta rupiah saya terus berdoa agar kami selamat sampai ke Bandung dan mengagih-agihkan wang yang diperlukan oleh pelajar-pelajar kita di Bandung. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat dan resahan pelajar pada masa itu dapat diredakan.

Episod-episod lain akan muncul kemudian, jika ada teman-teman lain yang bersama saya pada masa itu dan ingin berkongsi cerita saya amat alu-alukan.

Ismail Bin Abdullah (isbah), Teras Jernang.